
Salam Sejahtera...
Rating:9/10
Filem: Pensil
Pelakon:M. Subash, Ruminah Sidek, Maimon Mutalib, Khatijah Tan dan Jalil Hamid
Genre:Drama kemanusiaan
Ulasan:
Melihat kepada tajuk dan nama pengarah (M Subash), mungkin ramai tidak mahu menonton filem ini kerana tajuk serta pengarahnya tidak berkongsi‘nilai’ komersil. Namun beralih kepada barisan pelakon, sedikit sebanyak ianya dapat menarik minat pengunjung panggung untuk menonton filem ini.
Walau bagaimanapun, itu belum cukup membuat penonton mahu membelanjakan RM10 untuk menonton filem ini. Trend pengunjung panggung yang rata-rata berumur antara 15 ke awal 40-an, barisan pelakon serta nama pengarah disamping tajuk filem yang ‘catchy’ memainkan peranan penting.
.jpg)
Pujian harus diberikan kepada pengarah serta penerbit filem ‘Pensil’ kerana berani membawa perubahan kepada industri filem tempatan walaupun tahu persaingan hebat di luar sana. Bukan nama pengarah atau barisan pelakon popular yang dipertaruhkan, sebaliknya jalan cerita yang cukup baik, membuatkan filem ini sangat bernilai walaupun tanpa kos yang tinggi.
Menonton filem ‘Pensil’ cukup menginsafkan. Kisah bagaimana seorang anak cacat yang tidak diterima ibu tiri tetapi masih menyayanginya sepenuh hati. Filem ini cukup ‘dewasa’ untuk berada di kalangan filem tempatan lain walaupun ini filem pertama M. Subash.
Tema kemanusiaan begitu menyentuh perasaan sehinggakan sepanjang tempoh 110 minit tayangannya mata sentiasa digenangi air. Simpati teramat melihat penderitaan Badrul, anak cacat fizikal yang dijaga ibu tiri dan pensel menjadi medium meluahkan kasih sayang seorang anak kepada ibunya.
Ibu kandung Badrul berketurunan India, membunuh diri sebaik melahirkannya. Hubungan sulitnya bersama bapa Badrul yang telah beristeri merumitkan keadaan. Sementelah keluarga ibu kandung Badrul yang tidak dapat menerima hakikat anak mereka mengandung anak luar nikah bersama lelaki Melayu, kelahiran Badrul dilihat sebagai pembawa sial.
Mungkin kerana rasa bersalah, bapa Badrul menjaganya dengan bantuan isteri (Maimon Mutalib) walaupun dalam keadaan terpaksa. Kematian bapa Badrul yang dilanggar lori ketika ingin membelikan ubat demam anaknya menjadi dendam kesumat kepada ibu tirinya.
Bermulalah episod duka dalam diri anak cacat ini. Ibu tiri yang diharap dapat menjaga anugerah Tuhan ini sebaliknya mengabaikan tanggung jawab seorang insan serta hambaNya.
Jiwa cukup tersentuh ketika adegan Badrul memberikan sepasang baju kurung kepada ibu tirinya sebagai hadiah hari jadi dan menulis nota ringkas ‘Sayang Ibu’ dan meletakkannya bersebelahan si ibu yang sedang tidur.
Apakah balasan si ibu kepada anak tirinya yang cacat fizikal itu? Sepinggan nasi berlaukkan sebiji kacang botol dan berkuahkan air kosong. Namun si anak tetap menjamahnya dengan penuh berselera.
Dalam filem ini, Ruminah Sidek diberi tanggung jawab besar sebagai pelakon utama yang membawakan watak Mak Nek, seorang nenek yang tidak pernah jemu melayan karenah anak cacat seperti Badrul. Mak Nek menjadi tempat Badrul meluah perasaannya. Walaupun butir bicaranya tidak dapat difahami namun Mak Nek tetap menyayanginya sepenuh hati.
M. Subash sebagai pengarah serta pelakon utama berjaya mengimbangi plot agar penonton tidak terlalu emosi. Jenaka yang dibawa dalam filem ini cukup sempurna agar kesedihan penonton terhadap Badrul dapat diubati dengan aksi bersahaja oleh Ruminah Sidek, Khatijah Tan, Jalil Hamid mahupun M. Subash sendiri.
Sekian...



0 P.O.V:
Post a Comment