Thursday, September 25, 2008

PENSIL JADI PEMBAKAR SEMANGAT GENIUS PARADE...09 September 2008 : Berita Harian(Oleh Nurulhisham Abdul Latiff)


Salam Sejahtera...


Subash mengagumi Islam dan budaya Melayu kerana memiliki ciri-ciri unik dan mudah. SIAPA sangka hasil karya yang kosnya kira-kira RM400,000 akhirnya meninggalkan kesan agak mendalam apabila filem Pensil arahan M Subash berjaya menempatkan diri pada kedudukan lima calon Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-21, Ogos lalu. Tidak memenangi kategori utama itu setelah tewas di tangan Kala Malam Bulan Mengambang, tetapi Pensil yang menyaksikan dirinya memainkan peranan utama tetap pulang dengan dua kejayaan, iaitu menerusi Ruminah Sidek sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik selain sebuah lagi trofi untuk Hadiah Khas Juri.


Tentunya ia satu pencapaian membanggakan buat Subash atau nama sebenarnya Subash A/L Manokaran, pemuda keturunan India yang pertama kali bergelar pengarah filem. Beberapa tahun sebelum itu, dia pernah mengarahkan Pensil dalam bentuk telefilem berbahasa Tamil, untuk disiarkan di Astro. Tanpa pendidikan formal dalam pengarahan dan perfileman, namun minat mendalam terhadap dunia itu, serta keinginannya yang membara untuk mempersembahkan sebuah karya yang mengangkat nilai murni masyarakat tempatan (Melayu terutamanya), memberikan kesudahan agak cemerlang buat jejaka berkenaan. "Memang saya tidak ada pengalaman dalam bidang perfileman. Semuanya bermula apabila saya cuba menyahut cabaran ibu, yang sebenarnya mahu saya menjadi seorang penari sepertinya. Selain menari, ibu saya juga pernah menyanyi dan bermain muzik sewaktu hayatnya.


"Jadi, semuanya bermula hasil galakan yang diberikan oleh ibu. Dia mendedahkan saya kepada seni sejak sekian lama. Hati saya benar-benar tersentuh setiap kali melihat dia memainkan alat muzik. Ia membawa saya kepada mempelajari tarian klasik," cerita Subash bagaimana dia mula menjejakkan kaki ke persada seni. Dengan niat membawa langkahnya ke depan, pelbagai pertandingan tarian disertai pemuda ramah ini. Dia juga pernah bekerja sebagai jurujual komputer. Ketika yang sama, dia tidak lelah mendaki tangga pejabat syarikat produksi India tempatan untuk memohon diberikan ruang dalam penerbitan mereka. Namun, rezeki tidak menyebelahi Subash. Tidak berputus asa, impiannya untuk menceburi dunia perfileman jauh daripada pudar. Sedikit demi sedikit dia mengumpul wang dengan berkerja sebagai tutor. Kemudian dia menyambung pengajiannya dalam bidang pengurusan di Universiti Malaya. Selepas itu sinar mula menjelma apabila dia menyertai pusat tuisyen milik Surenthar.


"Terima kasih kepada Tuhan kerana menemukan saya dengan Surenthar. Dialah orang yang menyedari minat mendalam saya terhadap dunia perfileman. Dengan bantuan kewangan darinya, saya mampu menghasilkan filem yang tidak seberapa itu, tetapi cukup besar maknanya," ujar Subash yang kini sibuk menyiapkan sebuah lagi filem, kali ini diberi judul Syirik pula. Suka tonjol masyarakat Melayu MELIHAT kepada hasil pertamanya, Pensil, Subash kuat sekali menonjolkan budaya orang Melayu dalam percubaan pertama. Elemen nilai murni masyarakat itu serta unsur Islam jelas diketengahkan olehnya dalam filem yang turut dibintangi Jalil Hamid, Khatijah Tan dan Maimon Mutalib berkenaan. Filem Syirik pula yang memulakan penggambaran pada 25 Ogos lalu, sekali lagi mengutarakan latar sosial serupa, walaupun dalam genre berbeza. "Saya sukakan cara hidup masyarakat Melayu. Apatah lagi kehidupan mereka berpaksi pada kepercayaan kepada satu Tuhan. Di situ saja, kita boleh lihat betapa ia tidak bercelaru seperti sebahagian masyarakat lain. Ditambah pula dengan nilai murni yang ada pada mereka, saya berasakan masyarakat Melayu cukup unik untuk dipaparkan. “Pada ketika yang sama, saya bimbang nilai itu akan terhakis dengan kemasukan budaya Barat yang semakin ketara. Justeru, menerusi filem saya, diharap orang ramai akan menghargai nilai murni yang semakin hilang. Banyak sekali nilai baik yang boleh dijadikan contoh teladan. Lagipun, hanya di Malaysia wujudnya nilai masyarakat Melayu sedemikian," katanya. Dia bercita-cita menghasilkan filem yang bukan sekadar memberikan pedoman, sebaliknya mampu memimpin masyarakat ke arah perpaduan.


Itu boleh dicapai menerusi nilai murni yang wujud dalam masyarakat tempatan. Filemnya yang akan datang, Jom C.I.U.M, bakal dihasilkan dengan matlamat menyatukan masyarakat berbagai-bagai bangsa di negara kita. "Jadi, untuk apa kita hasilkan filem yang sama kandungannya dengan filem Barat? Lebih baik kita paparkan saja sesuatu yang mereka tidak miliki seperti nilai murni ini. Lebih-lebih lagi, penonton akan membandingkan karya kita dengan filem dari Hollywood atau sebagainya, sekiranya kita menghasilkan sesuatu judul dengan acuan lebih kurang serupa. Tentunya, kita takkan setanding dibandingkan dengan mereka," katanya sambil memberikan contoh, Indonesia juga sudah mula menerbitkan filem dengan nilai tempatan seperti Ayat-Ayat Cinta. Islam sebagai tunjang cerita FILEM Pensil dan Syirik, kedua-duanya mengetengahkan Islam sebagai elemen penting dalam penceritaan. Dalam Pensil, penonton dapat saksikan lelaki itu memegang watak pemuda Islam yang sentiasa mencari keredaan Yang Maha Esa, walaupun dia tidak sempurna sebagaimana insan lain di sekelilingnya. Lalu, tertanya-tanya juga di hati, apakah sebenarnya yang ingin dibuktikan jejaka kelahiran Terengganu ini menerusi penonjolan Islam itu sendiri dalam karyanya? “Saya menyintai Islam. Saya banyak mempelajari mengenai agama ini daripada kawan-kawan Melayu. Tapi saya masih memerlukan waktu untuk terus mendalami kepercayaan ini, sebelum saya sendiri akhirnya memeluk Islam. "Saya tidak mahu memeluk Islam selagi saya berasakan ilmu di dada saya belum cukup.


Sekali saya menganut Islam, ia akan menjadi agama saya buat selama-lamanya. Jadi, sebelum masa itu tiba, biarlah saya belajar lebih banyak lagi mengenai agama ini, untuk kebaikan saya juga," katanya mendedahkan keadaan sebenar. Kata Subash, Islam ialah agama yang unik kerana ajarannya mudah. Keunikan itulah yang memikat hatinya untuk mendekati agama suci ini. Kerana itu juga dia menonjolkan Islam dalam filemnya. "Semoga, dengan usaha begini, masyarakat mendapat pendedahan sebenar terhadap agama Islam. Bukannya kita tidak tahu, orang di Barat bimbang jika negara yang masih mempunyai kekuatan dari segi agama bersatu. Sekiranya negara itu bersatu, mereka juga yang akan jatuh sudahnya," ujar Subash yang berasakan dirinya mempunyai tanggungjawab untuk menonjolkan kebaikan yang ada pada agama berkenaan.


Sekian...

0 P.O.V: