Sunday, November 2, 2008

TEMPOH 4 HARI SAJA!...Oleh Nurulhisham Abdul Latiff



Genius Parade Sdn Bhd buat kejutan dalam filem Syirik

SEANDAINYA filem pertama terbitan Genius Parade Sdn Bhd, Pensil, berjaya dirakam dalam masa enam hari, filem kedua terbitan Surenthar, Syirik nampaknya mencatat sebuah lagi kejutan apabila filem bercorak misteri itu menamatkan penggambaran utama dalam masa empat hari saja.

Walaupun dianggap sebuah filem yang kecil, namun Surenthar dan pengarahnya, M Subash, membuka mata masyarakat filem apabila Pensil turut disenaraikan sebagai lima calon akhir bagi kategori utama, Filem Terbaik, pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-21 di Putrajaya, baru-baru ini.

Lalu, apabila Syirik yang sekali lagi dilakonkan Subash dan Khatijah Tan siap dirakam dalam masa yang lebih singkat, apakah formula 'tidak membazirkan masa' itu akan sekali lagi memberikan kelebihan kepada filem ini?

Sudah tentu ramai yang terfikir, apa yang mampu dicapai pengarah terbabit dalam masa yang begitu singkat? Apakah filemnya nanti muncul sebagai filem melepas batuk di tangga? Hip menemui pengarah dan penerbit muda berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.

"Biarpun filem Syirik dirakam dalam masa empat hari, tetapi sebagai pengarah, saya berpuas hati dengan hasilnya. Saya gembira dengan hasil lakonan pelakon serta hasil kerja krunya. Mereka memberikan kerja yang terbaik untuk menjayakan filem ini," kata Subash yang memegang tiga watak dalam filem terbarunya itu, termasuk watak seorang perempuan, Lina.

Ujarnya, mengapa perlu penggambaran filem itu dilanjutkan sekiranya mereka mampu melaksanakannya dalam masa yang singkat?

"Kami tidak sengaja melambat-lambatkan penggambaran dengan tujuan mendapatkan wang lebih. Saya tidak nampak rasionalnya untuk memanjangkan hari penggambaran apabila Syirik dapat dirakam dalam masa beberapa hari saja.

"Ia bukan berkait pada soal berapa lama filem ini dirakam, sebaliknya kreativiti tenaga kerja yang terbabit. Kadang kala, kita menggunakan waktu, tenaga serta peruntukan yang berlebihan, tetapi hasilnya pula tak seberapa. Kami pula mencuba formula yang tidak memerlukan peruntukan hingga berjuta-juta, tetapi masih mengutamakan kualiti," tegas pengarah yang berharap dapat menayangkan filem itu sekitar Mac atau April tahun depan.

Biarpun siap dirakam dalam masa singkat, tetapi pihaknya sudah mendapatkan segala babak yang diperlukan, apabila mereka turut mengadakan rakaman tambahan untuk visual pemandangan dan sebagainya.

"Malah, setelah disunting secara kasar, filem berkenaan kini mempunyai durasi sepanjang dua jam setengah tayangan. Kami perlu menyuntingnya lagi kerana ia sudah pun terlebih daripada minit yang kami perlukan," kata Surenthar yang membelanjakan sekitar RM400,000 untuk menghasilkan filem keduanya ini.

Menurutnya, dia membayar pelakon dan pekerja filem itu dengan gaji hari. Mereka gembira dengan habuan yang diterima. Justeru, ia bukan sebuah filem yang dibuat dengan belanja murah sekiranya diukur pada bayaran diterima.

"Pada masa yang sama, kami juga tidak mengerah tenaga pelakon dan pekerja 24 jam sehari. Mereka mempunyai waktu untuk berehat dan bersembahyang. Kami berjaya melakukannya dalam masa beberapa hari kerana penggambaran dilakukan mengikut pecahan babak dan pelakon. Apatah lagi kru yang diseliakan Abang Indra (Che Muda) menunjukkan disiplin kerja yang cukup tinggi," puji penerbit terbabit.

Begitupun, kedua-duanya mengaku agak risau seandainya mereka dilabel sebagai sekumpulan pembikin filem baru yang cuba merosakkan tradisi dunia penghasilan filem tempatan.

"Kami memang takut kalau ada yang kata kami 'kacau daun'. Masalahnya, dengan bajet tidak besar yang kami ada itu, begitulah cara kami menghasilkan sesebuah filem.

"Kami juga tidak mahu menipu dengan mengatakan filem ini disiapkan dalam masa sebulan atau sebagainya, hanya kerana bimbang orang ramai akan mempertikaikan kualiti filem ini. Ada sesetengah pihak berasakan, kami tidak patut mengumumkan filem ini dibuat dalam masa yang singkat. Masalahnya, kami tidak mahu bercerita perkara tak benar," kata Surenthar.

Syirik, kata Subash pula, pada hakikatnya memberikan kepuasan yang lebih pada dirinya berbanding filem sulung, Pensil.

"Syirik punya kekuatan yang pelbagai. Ia sekali lagi menekankan aspek lakonan. Saya harus memberikan pujian kepada Khatijah Tan yang memberikan persembahan amat membanggakan menerusi filem ini. Jika menerusi Pensil, saya mengetengahkan Mak Mah (Ruminah Sidek), kali ini, giliran Khatijah pula. Pendek kata, Syirik memang filemnya. Saya berharap benar dia akan dicalonkan bagi kategori lakonan pada FFM akan datang.

"Syirik turut menunjukkan perbezaan dari segi kerja kamera. Tidak pernah sebuah filem tempatan dirakam dengan gaya rakaman seperti kami lakukan untuk filem ini. Ia menampilkan teknik rakaman pegangan tangan (hand held camera), seakan-akan kamera itu sendiri yang dirasuk," dedah Subash.

Selain dirinya dan Khatijah, turut menjayakan filem yang dirakam di sekitar Sungai Lui, Hulu Langat itu ialah pelakon teater, Sham Sunder Binwani serta beberapa muka baru seperti Jeff Omar, Jeffry Jeff dan Zaid.

Pensil ke festival filem di India

KEGEMBIRAAN berganda tentunya kini dirasai dua jejaka ini apabila Pensil sekali lagi mendapat perhatian pada festival filem. Jika pada FFM21 lalu mereka pulang dengan dua trofi (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Anugerah Khas Juri), beberapa minggu lalu filem itu dipilih pula menyertai Festival Filem Antarabangsa India (IFFI) Ke-39 yang berlangsung 22 November hingga 2 Disember depan, di Goa.

Surenthar memberitahu, kini segala persiapan bagi membolehkan filemnya dihantar ke India sudah dilakukan. Dia sendiri akan mewakili filem yang mendapat lima pencalonan pada FFM21 itu ke sana nanti.

"Sudah tentulah kami amat berasa bangga dan gembira dengan pemilihan ini. Ia penghargaan cukup besar buat filem sekecil Pensil apabila berjaya menarik perhatian penganjur festival antarabangsa seperti IFFI.

"Kalah menang bukanlah perkara utama ketika ini. Paling penting, usaha daripada pembikin filem kerdil seperti kami tidak dilepas pandang oleh penganjur festival. Ia memberikan kami semangat untuk terus menghasilkan filem berkualiti pada masa akan datang," kata Surenthar yang nyata teruja dengan pemilihan berkenaan.
geniusparade

2 P.O.V:

farha ; annie said...

yay.
cant wait to see this movie !
:DD

Modarator GPSB said...

thank u... gud 2 hear tt..