Jika sebelum ini ‘Pensil’ menjalani penggambaran selama seminggu, ‘Jom La Cium’ selama tiga hari, ‘Syirik’ selama empat hari, filem terbaru terbitan Genius Parade, ‘Mannaan’ hanya mengambil masa penggambaran selama 12 jam! Itulah keajaiban yang dilakukan pengarah M. Subash yang tidak kenal erti mengalah dan penerbitnya Surenthar.Sejarah penggambaran filem paling pendek di Malaysia bermula jam enam pagi dan berakhir tepat jam enam petang di Batu 16, Hulu Langat, Selangor. Namun, persoalan yang timbul, adakah dengan masa yang begitu singkat, akan menghasilkan sebuah filem bermutu.
“Itulah dilema yang kami hadapi. Bila mampu menyiapkan karya dalam tempoh singkat, pasti ada pihak mempertikaikan mengenai kualiti. Tetapi saya cukup berpuas hati dengan apa yang dilakukan selama ini. Walaupun masanya singkat, kualiti tidak pernah diabaikan,” janji Subash.
“Bagi Genius Parade, setiap filem yang kami hasilkan, haruslah berkualiti. Namun, faktor premier dalam produk yang ingin dipersembahkan kepada penonton adalah mesej yang ada di dalam sesebuah filem.
Tambah Surenthar, “Kami sedar kami tidak mempunyai peruntukkan untuk menghasilkan filem menggunakan teknik ‘imej janaan komputer’ mahupun aksi lagak ngeri, jadi dengan kekurangan ini, pihak Genius Parade menumpukan kepada mesej dan kandungan yang ingin disampaikan kepada penonton.”
Ketika ditemubual, mereka ditanya apakah rahsia sehingga mampu menghasilkan sebuah karya dalam tempoh cukup singkat.
“Dengan kekangan dari sudut kewangan, kami hanya memilih satu lokasi sahaja. Selain itu, dengan teknik papan cerita, saya sudah tahu sudut kamera yang diinginkan. Ini memberikan saya kelebihan untuk mengarah karya ini,” kata Subash.

Iqwal Teruja Berlakon
Keistimewaan ‘Maanaan’ juga terletak pada pelakonnya, iaitu bintang baru Iqwal, pemenang pingat emas di ‘World Championship of Performing Arts’ di Los Angeles tahun lepas. Selain itu, penghibur yang cukup dikenali pada era 80an, Jem turut terlibat selain Jeevan dan Ruminah Sidek.
Menurut Iqwal, dia tidak menyangka boleh terjun ke dalam bidang lakonan. Baginya, pertemuan dengan Subash ketika Kuala Lumpur International Film Festival 2008 mengubah segala-galanya.
“Dalam pertemuan itu, Subash telah menawarkan watak remaja untuk filem terbarunya. Bagi saya, peluang tidak akan datang kali kedua. Jadi saya menerima tawaran tersebut. Selain bidang nyanyian, saya memang sudah lama bercita-cita terlibat dalam lakonan.”
Membawa watak Syamir, seorang remaja yang meminati tarian ‘shuffle’, tidak terlalu memberi cabaran kepadanya.
“Bidang tarian juga sebahagian dari diri saya. Jadi ianya tidaklah terlalu sukar. Cuma, agak penat apabila terpaksa melakukan berkali-kali supaya lakonan itu sempurna.
Tambahnya, “Bidang lakonan cukup mengujakan. Jika ada tawaran, saya pasti akan menerimanya.”

‘Mannaan’ Berdasarkan Pengalaman Subash
‘Mannaan’ yang bermaksud ‘Maha Pemurah’ menceritakan Muthu (lakonan M.Subash), seorang kurang upaya (buta dan kehilangan kedua-dua belah kaki) dikurung oleh ayahnya kerana ingin mendalami Islam.
Dalam pada itu, Syamir (Iqwal) pula sering dimarahi ayahnya kerana ingin mempelajari tarian barat. Akibat konflik ini, Syamir bertemu dengan Muthu secara tidak sengaja. Dari pertemuan ini terjalin satu persahabatan. Hasil dari pertemuan itu, Syamir lebih mendalami nilai-nilai Islam sehingga memeranjatkan neneknya (Ruminah Sidek).
geniusparade


