Friday, June 12, 2009

'Jomlah C.I.U.M.... filem berjiwa Malaysia?...http://amyikram.blogspot.com/

Mendengar sahaja tajuk 'Jomlah C.I.U.M', barangkali terlintas difikiran anda, apakah ia sebuah karya kontroversi atau karya songsang?. Pandangan sebegitu perlu dilontarkan jauh-jauh kerana Jomlah C.I.U.M bukannya karya sebegitu kerana tiada langsungpun elemen kontroversi seksual mahupun adaptasi murahan yang terdapat dalam filem ini. Jomlah C.I.U.M, merupakan singkatan kepada Jomlah Cari Identiti Untuk Malaysia (C.I.U.M), adalah filem terbaru arahan M.Subash Abdullah yang akan menemui penonton Malaysia pada 23 Julai 2009 dan ia telahpun ditayangkan kepada rakan media semalam di Pawagam Mini P.Ramlee, Finas. Filem yang diterbitkan oleh Genius Parade Sdn.Bhd ini merupakan sebuah filem yang agak menarik kerana ia mengupas pelbagai isu dalam kehidupan melalui 3 watak utama yang mempunyai peranan masing-masing iaitu seorang uztaz, sami buddha dan paderi kristian. Ketiga-tiga mereka mempunyai ceritanya yang tersendiri. Cerita pertama mengenai seorang uztaz yang buta matanya tetapi cerdik akal fikirannya. Walaupun beliau tidak boleh melihat seperti manusia lain, namun beliau mempunyai hati yang bersih kerana segala bentuk pencerobohan minda dan kerosakan masyarakat di sekitar kampung amat dibimbangkannya. Melalui agama sahajalah, baginya masalah ini dapat diselesaikannya. Tindakan dan perhatian ustaz tersebut dalam memohon bantuan kewangan untuk membina surau di kampung itu, telah menarik perhatian seorang Sami Buddha dan Paderi Kristian. Kedua-dua mereka ini bersatu padu walaupun berlainan kepercayaan agama dan budaya, demi untuk menegakkan syiar islam yang dibawa oleh ustaz tersebut. Apakah yang berlaku seterusnya?. Berjayakah ustaz tersebut membina surau bersama-sama Sami Buddha dan Paderi Kristian, walaupun agak jangkal dalam masyarakat?. Semua itu hanya akan terjawab sekiranya anda pergi menonton Jomlah C.I.U.M pada 23 Julai 2009 .

Jika dilihat dari sudut pemikirannya, Jomlah C.I.U.M karya M.Subash Abdullah ini cuba mempersoalkan kepada kita 'apakah sebenarnya filem dan apakah pula maksud Wayang?. Kedua-dua ini berbeza, kerana FILEM merupakan wadah pemikiran yang hanya dihasilkan untuk masyarakat berfikir dan menilai segala aspek yang dikemukakan menerusi bahasa visual yang merangkumi mis-on-scene dan nilai naratifnya, sebaliknya 'WAYANG' pula membawa erti yang sejagat iaitu untuk mengkomersialkan produk tanpa memikirkan nilai naratif demi untuk mengaut keuntungan. Produk WAYANG boleh dilihat dalam kebanyakkan filem-filem arahan Prof. Razak Mohaideen, Ahmad Idham dan sebagainya, cuma FILEM hanya boleh disaksikan melalui karya-karya M.Subash, Yasmin Ahmad, Amir Muhammad dan Dr. Hatta Azad Khan. Oleh itu, kedua-dua lambang ini (Filem-Wayang) adalah dua intipati yang amat berbeza sekali. Maka, dalam perkara ini M.Subash telah berjaya meletakkan dirinya sebaris pengarah-pengarah filem yang mempunyai jatidiri dalam menghasilkan FILEM bukannya WAYANG!.

Berbalik kepada intipati Jomlah C.I.U.M, filem ini boleh dikatakan sebuah filem yang lari daripada pendekatan komersial, kerana ia mempertaruhkan muka-muka baru yang sengaja diambil untuk keperluan watak ( mereka bukan pelakon) iaitu watak ustaz yang dibawa oleh seorang ustaz yang benar-benar buta dan watak seorang anak muda yang rosak akhlak lakonan seorang wartawan hiburan daripada portal cinema online. Keberanian watak ini harus dipuji pada M.Subash dan Surenthar (produser filem) yang berani mengetengahkan kedua-dua watak tersebut melalui plihan pelakon yang diambilnya, ia barangkali mungkin tidak digemari oleh penonton filem komersial. Seperkara mungkin yang seringkali dirisaukan daripada kalangan penggiat filem dan pengkritik ialah 'sambutan ke atas filem berjiwa Malaysia ini'. Percayalah, filem-filem sebegini hanya akan disukai oleh peminat FILEM , bukannya peminat WAYANG komersial.

Justeru, Jomlah C.I.U.M boleh dikatakan sebuah filem yang berisiko tinggi untuk diterima masyarakat kerana ia bukan filem komersial tetapi ia sebuah karya FILEM yang cuba mengangkat jatidiri masyarakat Malaysia bagi membentuk sebuah negara mengikut prinsip 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak. Namun begitu, jika anda peminat filem yang mencari-cari sebuah karya yang berkualiti tinggi dan mempunyai citarasa bagi membentuk 'masyarakat', maka filem Jomlah C.I.U.M perlu ditonton oleh semua golongan masyarakat tidak kira agama, budaya dan warna kulit kerana inilah filem untuk semua!!.

Subash akui lebih tenang selepas memeluk Islam...M-online-Oleh AU YEONG HOW

SEBELUM bergelar saudara baru, pengarah M. Subash atau nama Islamnya, Manaan Subash memang sudah lama meminati ajaran Islam yang dianggapnya cukup indah.

Keinginannya untuk mempelajari tentang Islam semakin membuak-buak apabila dia bertemu dengan seorang pengurut tradisional, Ustaz Ibrahim Mat Isa yang mengubati sakit belakang yang dialaminya sejak tahun lalu.

Ketika itu, Subash sering mendapat nasihat, bimbingan dan ceramah agama setiap kali dia berurut lebih sejam dengan ustaz yang cacat penglihatan itu.

Akhirnya, tanggal 15 Disember lalu, Subash memeluk Islam. Walaupun ahli-ahli keluarga menentang pada awalnya, tetapi setelah melihat kesungguhan Subash, mereka akhirnya merestui kehendak murninya itu.

"Kehidupan saya berasa lebih tenang, fokus dan terarah selepas saya memeluk Islam. Saya memilih agama Islam kerana ia menganjurkan konsep Yang Esa," katanya selepas majlis pratonton filem Jomlah C.I.U.M di sini, semalam.

Filem ini mengisahkan usaha seorang ustaz buta untuk membina sebuah surau untuk membawa golongan muda-mudi yang sesat ke jalan yang diredhai Allah.

Ustaz yang menghadapi masalah kewangan berasa terharu apabila mengetahui sami Buddha (Mannaan Subash) dan rahib Kristian (aktres Kenchana Devi) sanggup menolongnya untuk membina surau tersebut.

Menariknya, watak ustaz buta itu dipegang sendiri oleh Ustaz Ibrahim setelah Subash sendiri menawarkan watak itu kepadanya.

Ustaz Ibrahim Mat Isa

Sementara itu, Ustaz Ibrahim memberitahu, dia mengenali Subash apabila pelakon itu sering mendapat rawatan urutnya dan kagum dengan minatnya yang ingin mempelajari tentang Islam.

Katanya, selepas selesai menjalani rawatan, Subash akan menghabiskan masa berbincang mengenai Islam.

"Saya akan bercerita tentang Allah, Nabi Muhammad dan lain-lain kepadanya. Saya akan memberi banyak penjelasan jika dia mempunyai kekeliruan," katanya.

Ibrahim berkata, dia bersyukur kerana dapat menemani Subash ke Jabatan Agama Islam untuk mendaftarkan diri sebagai saudara baru, tahun lalu.

Filem 'Jomlah C.I.U.M' dukung semangat 1Malaysia ...M-online- Oleh AU YEONG HOW

Salam Sejahtera


TIDAK salah jika perkara pertama terlintas di benak semua orang ketika membaca judul filem Jomlah C.I.U.M! adalah adegan bercium.

Bagaimanapun, jangan salah faham. Sebenarnya Jomlah C.I.U.M adalah singkatan untuk Jomlah.... Cari Identiti Untuk Malaysia dan filem ini cuba mengupas keindahan tiga agama yang dianuti rakyat negara ini iaitu Islam, Buddha dan Kristian dan Buddha.

Pengarah muda GB Sdn Bhd, M. Subash yang juga merupakan saudara baru berkata, filem tersebut diberi judul komersial sedemikian bagi menarik perhatian orang ramai.

Apa yang lebih penting, katanya, filem itu yang sarat dengan semua ajaran agama dapat menyatupadukan rakyat negara ini.

"Bila kita berkata tentang Malaysia, apakah sebenarnya identiti rakyat negara ini? Rakyat negara kita terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

M. Subash

"Objektif utama filem ini adalah untuk memahami Malaysia...selari dengan aspirasi '1Malaysia' slogan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," jelas Subash.

Subash juga mempersoalkan samada rakyat Malaysia hipokrit dan di manakah hala tuju kita?

Filem ini, kata Subash, mungkin berjaya membantu kita memahami jiwa kita sebagai rakyat Malaysia.

"Filem ini sedikit sebanyak memberi kesedaran tentang pentingnya perpaduan rakyat menerusi agama untuk mencapai 1 Malaysia," katanya pada majlis pratonton filem Jomlah C.I.U.M di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor semalam.

Hadir sama ialah penerbit GP Sdn. Bhd. Surenthar dan barisan pelakon seperti Ibrahim Mat Isa sebagai ustaz, Hajah Maimunah Ahmad (Nenek), Wahi Aziz (cucu Nenek), Kenchana Devi (Rahib Kristian) dan M. Subash (Sami Buddha).

Wahi Aziz, M. Subash, Surenthar, Ustaz Ibrahim Mat Isa dan Hajah Maimunah Ahmad.

Filem ini mengisahkan usaha seorang ustaz buta untuk membina sebuah surau untuk membawa golongan muda-mudi yang sesat ke jalan yang diredhai Allah.

Walaupun buta, ustaz berpendapat ajaran agama dapat menyelesaikan masalah sosial seperti penagihan dadah dan samseng jalanan.

Oleh kerana menghadapi masalah kewangan, ustaz melekat poster dan mengedarkan risalah untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada orang ramai.

Ustaz berasa terharu apabila mengetahui sami Buddha (pengarah muda Mannaan Subash) dan rahib Kristian (aktres Kenchana Devi) sanggup menolong ustaz untuk membina surau tersebut.

Filem Genius Parade itu merupakan karya ketiga produksi kecil itu selepas "Pensil" dan "Syirik". Penggambaran dijalankan di sekitar Hulu Langat, Semenyih dan Kuala Lumpur selama empat hari ini.

M. Subash memberitahu, filem itu menelan kos pembikinan berjumlah RM200,000-RM250,000 itu dan ia akan ditayangkan mulai 23 Julai ini.

Ketika ditanya mengenai ketiadaan pelakon Cina dan bangsa lain dalam filem itu dan hanya penampilan pelakon berbangsa Melayu dan India, beliau menjelaskan, isu itu sepatutnya tidak timbul kerana bangsa Malaysia tidak diklasifikasikan mengikut kaum.

"Boleh saya katakan hala tuju filem syarikat adalah menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum," katanya.


geniusparade

Tuesday, June 9, 2009

MAJLIS PRA-TONTON FILEM JOMLAH C.I.U.M!